Azalina sambut baik keputusan tarik sokongan terhadap PN, Muhyiddin

0
1

KETUA Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menyambut baik kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, keputusan tersebut sememangnya selaras dengan asas dan tujuan parti itu seperti yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan Umno untuk mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan.

“Raja dan rakyat berpisah tiada. Institusi Raja merupakan payung negara yang melindungi rakyat.

“Umno Bahagian Pengerang konsisten dan menyokong penuh keputusan MKT yang mengambil pendirian berpihak kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.

Nama Azalina termasuk dalam senarai 12 Ahli Parlimen Umno yang dilaporkan menyokong penuh keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Senarai nama tersebut dimuat naik dalam hantaran di laman Facebook Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

Katanya, kenyataan terbaharu Perdana Menteri hari ini tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong.

“Malah mempersendakan baginda yang hakikatnya telah beberapa kali menitahkan Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan sebelum 1 Ogos, bukan pada September 2021 iaitu persidangan Parlimen akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pendirian Umno itu juga adalah bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here