Shafie kesal cara pengendalian sidang khas Parlimen

0
1
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal

Najamuddin Mohd Nor

BIARPUN persidangan Dewan Rakyat telah ditangguhkan, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kesal dengan cara ia dikendalikan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan hanya lima minit masa diperuntuk kepada Ahli Parlimen dalam sesi soal jawab penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Sidang Khas Parlimen baru-baru ini.

Katanya, peruntukan masa yang terhad menyebabkan perkara penting untuk rakyat dan negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini tidak dapat dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

“Rakyat di luar sana menyentuh apalah ahli politik ni bising, bersuara… bayangkan sudahlah lima hari kita diberi tempoh, daripada jam 10 pagi hingga 5.30 petang. Rehat dari jam 1 tengah hari sampai 2.30.

“Kita nak bincangkan masalah negara, kita nak bertanya pada menteri yang ada. Lima minit apa yang nak dicakap. Kita nak cakap sesuatu perkara yang begitu besar menyentuh nyawa dan keselamatan rakyat,” katanya dalam temubual khas bersama Malaysiapost.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie juga kesal apabila hanya seorang Ahli Parlimen daripada sesebuah parti dibenarkan berhujah dalam sehari.

“Bukan setakat itu, kita dengar taklimat sahaja satu jam. Lepas itu kita nak bersuara lima minit saja. Benda apa yang saya boleh bersuara dalam lima minit perkara yang begini besar.

“Dalam itu pun ada beberapa parti, contohnya Warisan diberikan satu orang saja bercakap dalam sehari. Jadi tidak bagus untuk saya seorang sahaja bercakap, Ahli Parlimen lain pun ada hak,” katanya.

Mohd Shafie juga pelik tindakan kerajaan yang mengadakan sidang Parlimen hanya lima hari bagi membincangkan perkara yang penting untuk kebaikan rakyat dan negara.

“Sepatutnya apa yang kita bimbang sangat. Dia orang boleh bincang di rumah Perdana Menteri sampai berjam-jam. Dari pagi sampai ke malam cerita politik. Takkan masalah negara tidak boleh dibincang di Parlimen.

“Yang saya bimbang bukan sahaja Covid di negara kita, masalah ekonomi dan yang sekarang ini kita adalah masalah undang-undang,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here