Rejim kerajaan PN perlu ditukar segera – Shafie

0
1
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal

Najamuddin Mohd Nor

REGIM kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu ditukar kerana gagal menguruskan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, regim kerajaan PN tidak perlu diberikan peluang lagi kerana terbukti gagal menyelesaikan masalah kesihatan rakyat, sosial dan ekonomi negara ketika ini.

Malah katanya, pelbagai dasar dan tindakan yang digunakan kerajaan PN termasuk peruntukan belanjawan yang tinggi, namun malangnya jangkitan Covid-19 kekal tinggi melebihi lima angka setiap hari.

“Kita boleh atasi masalah dengan cara fokus Covid-19 di negara kita, cuma corak pemerintahan kena ada perubahan. Selagi tak ada perubahan ini, kita tidak akan dapat atasi masalah ini.

“Setelah peruntukan RM300 bilion yang dilulus dalam belanjawan lalu, sudah hampir RM600 bilion kita belanjakan, pakej sana pakej sini, digunakan lagi Rang Undang-Undang Darurat Ordinan.

“Pelbagai kaedah yang mereka laksanakan, bantuan kerajaan negara luar bagi vaksin berjuta kepada Malaysia, tapi kadar kematian, pengangguran kian meningkat, nak bagi waktu lagi kepada mereka untuk perintah?

“Enam bulan satu tahun, tiap-tiap hari rakyat Malaysia mati 100 orang. Adakah ini kerajaan yang betul untuk mentadbir negara ini? Kita juga berhadapan krisis kewangan negara yang hutang kita lebih satu trilion sekarang,” katanya dalam tembual eksklusif bersama Malaysiapost.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Semporna itu menolak cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa terdekat, sebaliknya 220 Ahli Parlimen boleh menentukan untuk membentuk kerajaan baharu campuran atau perpaduan.

Mohd Shafie menambah, Malaysia tidak perlu Megeran kerana ia akan menyebabkan ekonomi terjejas dan pelabur asing takut melabur di Malaysia.

“Kena ada perubahan kerajaan dulu. Pasal kalau hanya tamat darurat lepas itu nak sambung Mageran lagi, itu darurat juga. Darurat kena sambung dan bila sambung kita kena faham sedangkan darurat tempoh hari tak boleh mengatasi masalah ini, kalau tambah lagi ekonomi kita semakin lumpuh, pelabur akan cabut lari.

“Saya ingat pertama sekali tukar regim, bila tukar regim kita boleh guna kaedah yang Dr Mahathir (Mohamad) katakan, kita boleh guna pakai tapi bukan dengan Mageran.

“Cara paling sesuai tukar kerajaan hari ini, 220 Ahli Parlimen yang menentukan tanpa pilihan raya. Kerajaan perpaduan lagi bagus dan ketepikan syarat parti masing-masing demi rakyat dan negara,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Semporna itu membidas kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak membenarkan Proklamasi dan Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen minggu lalu.

“Sudahlah tak patuh undang-undang, tak patuh juga dengan perintah Tuanku Agong. Perintah Agong beritahu bahaskan, undilah… pasal apa tak boleh undi, tak boleh bahas. Bukan kita tak boleh sokong, kita sokong kalau ia berpatutan kita sokong. Tapi masalahnya dia takut.

“Usul banyak, kalau usul tak percaya memang tak boleh masuk. Yang kita katakan pasal apa Speaker sekat agenda. Pasal dalam ‘standing order’ ada di situ agenda kerajaan diutamakan, bukan agenda rakyat. Agenda kerajaan kena bahaskan, agenda rakyat tak perlu dibahaskan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here