Perlis, Sarawak, Labuan beralih ke Fasa 3 PPN

0
1

PERLIS, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan beralih je Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Rabu ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata ini kerana ketiga-tiga negeri dan Wilayah Persekutuan itu telaj menunjukkan prestasi yang baik berdasarkan indikator nilai ambang ditetapkan.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mendengar pembentangan perkembangan pelaksanaan PPN oleh Menteri Penyelarasnya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

“Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis berada di PPN Fasa kedua selepas semua nilai ambang untuk beralih ke fasa berkenaan dipenuhi.

Peralihan negeri ke setiap fasa dalam PPN ditentukan dalam tiga indikator nilai ambang seperti kes harian Covid-19 di bawah 4,000, peningkatan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan liputan vaksinasi dua dos merangkumi 10 peratus daripada populasi sesebuah negeri.

Sementara itu Muhyiddin berkata mesyuarat juga memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin, selain kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

Katanya, kedua-dua perkara itu perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya’Allah kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu terdekat dan diharap dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat.

“Ingin saya tekankan juga di sini bahawa strategi kerajaan adalah memberi vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.

“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here