KERAJAAN bersetuju meluluskan pergerakan Perlis ke Fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus bermakna lebih banyak aktiviti harian dan operasi perniagaan akan dibenarkan.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini telah meluluskan perkara berkenaan.
“Berita gembira untuk Perlis! Alhamdulillah! Hari ini Mesyuarat MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah meluluskan pergerakan Perlis ke Fasa 3 PPN.
“Ini bermakna banyak aktiviti harian dan operasi perniagaan tertentu yang boleh dibenarkan. Salah satunya ialah kebenaran untuk makan di restoran, kedai atau gerai makan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun ada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi.
“Apa pun, tunggu pengumuman rasmi pihak MKN berhubung perkara ini dan perincian SOP yang akan digunapakai semasa Fasa 3 ini.
“Tapi jangan lupa satu perkara, setiap dari kita hendaklah mematuhi SOP dengan penuh disiplin setiap masa!” tegasnya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis berada di PPN Fasa kedua selepas semua nilai ambang untuk beralih ke fasa berkenaan dipenuhi. –
Peralihan negeri ke setiap fasa dalam PPN ditentukan dalam tiga indikator nilai ambang seperti kes harian Covid-19 di bawah 4,000, peningkatan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan liputan vaksinasi dua dos merangkumi 10 peratus daripada populasi sesebuah negeri. – Malaysiapost
Foto Kredit: Oh Bulan

