‘Kami juga takut, tapi kami lebih risaukan masa depan negara’ – Guan Eng

0
1
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hhli-ahli Parlimen Pembangkang yang lain dihalang masuk ke Parlimen oleh PDRM di Bulatan Bank Negara hari ini.

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui Ahli Parlimen pembangkang ‘takut’ dengan situasi Covid-19, namun mereka lebih risau terhadap masa depan negara.

Ini kerana kata Ahli Parlimen Bagan itu, ketika semakin banyak nyawa terkorban dan kes Covid-19 melonjak tinggi, mereka dihalang oleh kerajaan daripada menjalankan amanah sebagai Ahli Parlimen/

“Kami dihalang kerajaan daripada menjalankan amanah jawatan sebagai Ahli Parlimen. Kami hendak ke Parlimen untuk bicara soal pengurusan pandemik dan ekonomi rakyat.

“Ahli Parlimen yang takut tidak perlu hadir. Biarpun kami juga takut, tapi kami lebih risaukan masa depan negara kita, kehilangan nyawa dan kes Covid-19 melonjak tinggi serta kehilangan mata pencarian.

“Bila kerajaan membawa sengsara besar kepada rakyat, membungkam Parlimen, melanggar demokrasi berparlimen, menentang aspirasi rakyat dan membelakangkan sistem Raja berperlembagaan, kami tiada pilihan melain terus bangkit melawan,” tulisnya menerusi Facebook.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata walaupun hari ini negara telah bebas dari Darurat, tetapi tidak bebas dari Covid-19 serta kemelesetan ekonomi.

“Kita tidak bebas dari kehilangan nyawa dan mata pencarian kerana kegagalan Perikatan Nasional (PN) menangani Covid-19,” katanya lagi.

Terdahulu pagi tadi, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang cuba berarak ke bangunan Parlimen namun dihalang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di bulatan berhampiran Dataran Menara.

Beberapa pemimpin pembangkang antaranya Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Syed Saddiq berusaha berunding dengan pegawai polis, namun usaha itu gagal.

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang akhirnya bersurai setelah usaha mereka untuk memasuki bangunan Parlimen gagal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here