Premis cemar Sungai Kim Kim diarah henti pelepasan

0
2

SEBUAH premis bukan industri di Pasir Gudang di Johor Bahru, diarahkan menghentikan pelepasan tidak terawat ke Sungai Kim Kim dengan serta-merta yang menyebabkan sungai itu tercemar semula dan berbau busuk, sejak Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata pengendali premis berkenaan juga diarahkan menjalankan langkah pembaikan segera bagi memastikan kualiti air Sungai Kim Kim tidak lagi dicemari.

Katanya, siasatan susulan mendapati premis berkenaan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan berlakunya pelepasan air sisa buangan tanpa dirawat mengalir memasuki Sungai Kim Kim.

“Ujian sampel air sisa buangan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui kandungan sebenar mencemarkan Sungai Kim Kim semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan misteri pencemaran bau dialami penduduk Kampung Bukit Pulai, di sini, Rabu lalu terjawab apabila JAS Johor mengesan kegiatan pelepasan air sisa daripada premis bukan industri di Sungai Kim Kim.

Dalam kejadian jam 10 malam pada 28 Julai lalu, penduduk berhampiran kampung itu dilaporkan mendakwa, terdapat bau busuk dan dikhuatiri menambahkan lagi tekanan penduduk di kawasan terbabit ketika pandemik Covid-19.

JAS negeri dalam satu kenyataan semalam berkata, susulan aduan diterima sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasa Industri JAS bergegas ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim Dalam, Kampung Bukit Pulai menjalankan siasatan.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap premis terbabit mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) kerana melakukan kesalahan berkenaan.

“Penerbangan dron dan pengujian air ‘in situ'(analisis suhu dan nilai pH) juga dijalankan di sekitar kawasan terbabit untuk memantau kesan pencemaran di Sungai Kim Kim.

“JAS mengingatkan kepada sektor dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini supaya mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran atau berdepan tindakan tegas,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here