Perpecahan dalam BN tidak boleh diselindung lagi – Shahrir Samad

0
1

VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui perpecahan dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno adalah satu perkara yang tidak dapat diselindungkan lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, perpecahan berkenaan tidak dapat diperbetulkan pada masa ini sebaliknya ia akan diperbetulkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Umno dan BN, di peringkat atas, sememangnya sudah berpecah dengan masing-masing mempunyai halatuju sendiri. Ianya tidak boleh diperbetulkan masa ini.

“InsyaAllah, kerana akar umbi Umno khususnya masih kekal, ianya diperbetulkan pada PRU yang akan datang,” tulisnya dalam Facebook.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, perpecahan itu berlaku sejak PRU14, ia bermula di Sabah apabila majoriti ketua-ketua bahagian Umno negeri itu mengikut nasihat seorang pemimpin yang pernah berkedudukan tinggi dalam Umno untuk berbuat demikian.

“Mereka bersama ADUN-ADUN Umno-BN melompat ke PPBM (Bersatu). Kemudian 16 lagi Ahli Parlimen Umno-BN melompat keluar, 15 ke PPBM dan 1 ke Warisan.

“Menjelang PRK (Pilihan Raya Kecil) Tanjung Piai yang ditandingi oleh Bersatu-PH dan MCA-BN, 6 Ahli Parlimen Umno-BN secara terbuka menyokong Tun Dr Mahathir (Mohamad) sebagai PM sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.

“Namun yang lima ini masih kekal bersama ketua mereka (seorang yang lebih suka bertindak sebagai tangan ghaib) masih lagi berada dalam Umno. Seorang sudah pun meninggalkan kumpulan ‘6 Jahanam’ ini,” katanya.

Shahrir berkata, setelah 38 bulan berlalu semenjak PRU14, Umno dan BN sudah sekurang-kurangnya sudah berpecah kepada tiga kumpulan walaupun Umno masih mempunyai 39 Ahli Parlimen berstatus sebagai wakil rakyat BN.

“Perpecahan di peringkat elit ini tidak pula dicerminkan di peringkat akar umbi parti. Berkerjasama dengan PPBM (Bersatu) di peringkat tertinggi tidak juga diterjemahkan dengan kerjasama di antara Umno dengan Bersatu di peringkat akar umbi.

“MCA dan MIC sudahpun menyokong kuat kedudukan TS Mahaidin (Muhyiddin) sebagai PM. Ianya tanda keselesaan kepimpinan kedua-dua buah parti pengasas BN dengan kerajaan PN. Bagaimana pula kebersamaan ini dicerminkan di peringkat akar umbi mereka masih belum jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, analisa berkenaan dibuat dengan berpandu kepada fakta dan angka secara mendalam dan berasaskan kepada catitan peristiwa yang berlaku.

“Sebenarnya, analisa yang paling mudah ialah melihat kepada satu fakta sahaja yang menandakan kepatuhan seseorang ahli parlimen BN kepada parti yang mereka bertanding sebagai calonnya pada PRU yang lalu.

“Setiap ahli parlimen BN dikehendakki menyumbang 5% dari elaun Ahli Parlimen mereka setiap bulan kepada BN. Elaun mereka yang dikecuali dari cukai pendapatan ialah RM16,000 sebulan. Maknanya, sumbangan RM800 sebulan.

“Fahaman saya, hanya berbelas sahaja ahli parlimen BN yang membuat potongan bulanan kepada BN. Sumbangan 5% ini sebenarnya kecil berbanding dengan parti-parti lain.

“Sambil elit parti membuat penilaian dan keputusan tersendiri, mahupun melompat keluar, menyokong secara terbuka Bersatu dari masa Tun Mahathir hingga ke TS Mahaidin (Muhyiddin).

“…. dan akhirnya tidak sanggup membuat potongan bulanan elaun mereka, akar umbi sedar dan bersedia untuk melihat suatu barisan baru calon-calon parti pada PRU 15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here