Kerajaan jelas membelakangkan tatasusila Perlembagaan – Aziz Bari

0
3
aziz bari

PERKEMBANGAN mutakhir jelas menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) lebih bersedia untuk berhadapan dengan istana daripada mencari jalan untuk mengelakkan pertembungan terbuka, dakwa pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.

Lebih aneh lagi Abdul Aziz berkata, PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan akur dengan seruan istana yang rata-rata mahukan tuntutan dan semangat Perlembagaan dipatuhi.

“Hubungan baik antara istana dan kerajaan yang memerintah adalah kritikal dalam menjamin wujudnya sebuah pentadbiran yang stabil dan cekap demi kepentingan rakyat.

“Anjuran Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera diputarbelit. Ingatan Raja-Raja Melayu tentang perlunya kerajaan stabil dan mantap dipandang sepi. Terbaru Ordinan Darurat yang sepatutnya dibahas di Parlimen dimansuhkan secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz yang merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, adalah jelas bahawa pentadbiran PN ini bukan sahaja membelakangkan tatasusila dan adat Melayu, malah lebih dahsyat lagi memutar belit peruntukan Perlembagaan dan Perintah Tetap Parlimen.

“Ahli-ahli politik berkewajipan untuk bertindak sopan dan berhemah. Dengan itu adalah wajar untuk Perdana Menteri dan kabinet meletakkan jawatan. Kita berkewajipan untuk memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan tugas baginda seterusnya.

“Rakyat menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang tegas berdiri mempertahankan Perlembagaan,” katanya.

Baru-baru ini, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat telah mengundang murka Yang di Pertuan Agong.

Seri Paduka menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat Takiyuddin di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan, berkuatkuasa pada 21 Julai lalu.

Khamis lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here