AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata Pakatan Harapan (PH) adalah parti yang mendakwa kegagalan mereka sebagai kejayaan.
Pemimpin PAS itu berkata, disebabkan itu parti berkenaan amat mengharapkan orang lain turut gagal demi menutup kegagalan mereka.
“Orang yang gagal amat mengharapkan orang lain turut gagal untuk menutup kegagalan mereka. Atau lebih buruk, untuk mendakwa kegagalan mereka sebagai kejayaan.
“Itulah gagal demi gagal. Itulah PH dan siapa pun yang bersama. Jangan tiru,” katanya dalam hantaran Facebook.
Semalam, Majlis Presiden PH mendakwa, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti untuk membentuk kerajaan dan mereka haruslah sedar dan meletak jawatan.
Malah, Majlis Presiden PH dalam kenyataan semalam menganggap kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri berhubung pembatalan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai angkuh.
Menurut kenyataan itu, pemerintah yang hilang jalinan hubungan baik dan tidak taat kepada Seri Paduka Baginda tidak mungkin bertahan.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan seluruh kabinet telah hilang keabsahan kerana hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan kelayakan serta kewibawaan sebagai pemimpin apabila Perdana Menteri dan menteri gagal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibahas dan diputuskan di Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

