‘Sudah terbukti gagal, derhaka maka sila berundur’ – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

TAN Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur sebagai Perdana Menteri kerana sudah terbukti kerajaan pimpinannya gagal dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dalam pada itu kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih lagi menafikan kenyataan walaupun sudah terbukti mereka sememangnya gagal dan menderhaka.

“Seorang ketua Kerajaan yang mengaku penyatuan Melayu-Islam tak akan derhaka pada Raja-raja Melayu dan Ketua Agama Islam negara.

“Sudahlah dah gagal segagalnya tapi masih mahu derhaka. Lepas itu tak mengaku gagal dan tak mengaku derhaka pulak.

“Sekiranya sudah jelas terbukti gagal dan derhaka, sila berundur,” katanya ringkas di Facebook.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua Ahli Parlimen Bersatu berdiri teguh dan menyokong tanpa berbelah bagi kepada Muhyiddin yang merangkap Presiden parti itu terus memimpin kerajaan.

Ahmad Faizal juga merakam ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen daripada Parti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat Ahli Parlimen bebas yang bersamanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here