BEKAS Pengarah Urusan Apco Worldwide Malaysia, Paul Geoffrey Stadlen hari ini telah bersetuju melepaskan secara rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84 dan keseluruhan wang tersebut akan dipindahkan ke akaun amanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, perkara tersebut atas persetujuan Jabatan Peguam Negara, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Stadlen dan Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Kedua-duanya telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] membabitkan wang berjumlah RM15 juta.
SPRM berkata, perkara tersebut diputuskan setelah mengambilkira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucuthak. Sehubungan dengan itu, kes terhadap Stadlen ditarik balik.
“Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tindakan kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta 613 berjumlah RM590,587.26 dikenakan terhadap Datuk Mohd Hafarizam setelah mengambilkira serta mempertimbangkan alasan-alasan yang munasabah termasuk lanjutan daripada penarikan balik kes terhadap Paul Geoffrey Stadlen.
“Pertuduhan terhadap Datuk Hafarizam ditarik balik setelah kompaun diselesaikan,” kata kenyatan itu hari ini.
Sebelum ini, pertuduhan terhadap Stadlen telah dibuat tanpa kehadirannya pada 20 Februari 2019 manakala Mohd Hafarizam dituduh pada 3 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Terdahulu, media melaporkan Mohd Hafarizam dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM15 juta oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.
Mohd Hafarizam yang juga merupakan peguam terkenal telah diarahkan membayar kompaun sebanyak RM590,587.26 .
Pihak pendakwaan bersetuju menarik balik ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam dan bersetuju menawarkan kompaun kepadanya. Kompaun itu juga telah dibayar tertuduh petang semalam.
Kompaun itu dibuat mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfapua).
Hakim Suzana Hussin kemudian memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh dari pertuduhan tersebut. – Malaysiapost

