TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan Ahli Parlimen Umno bahawa kesetiaan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada raja, negara dan parti.
Sehubungan itu, beliau berkata pilihan wakil rakyat Umno adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada kerajaan PN.
“Saya selalu berpesan agar kita selalu bermuhasabah dan sentiasa sedar dan arif tentang asal-usul kita. Jangan hingga jadi seperti kata pepatah, diberi berkuku, hendak mencengkam,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohamad berkata, pendirian rasmi Umno telahpun dinyatakan oleh Presiden parti kelmarin.
Maka katanya, semua ahli dan pendokong setia parti, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka di dalam dan di luar kerajaan, wajib akur dan patuh terhadap pendirian tersebut.
“Pendirian rasmi Umno adalah keputusan kolektif parti. Ia selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung Umno, dan telah diperhalusi dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 7 Julai lalu.
“Susulan pencerahan dari Istana Negara kelmarin, maka bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti.
“Kerajaan telah jelas membelakangkan institusi diraja, melakukan tindakan tidak berpelembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia.” katanya.
Beliau berkata jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara malam tadi pula telah menyusutkan lagi keadaan.
Kenyataan tersebut katanya telah menjuruskan Malaysia ke suatu krisis Perlembagaan yang serius.
“Sikap kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Semua Ahli Parlimen Umno mesti menjarakkan diri dari terheret ke dalam krisis antara Kerajaan dengan Istana.
“Mereka tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran Istana kerana ia adalah institusi yang Umno telah berikrar akan taat dan pertahankan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen Umno untuk melakukan perkara yang benar dan selari dengan pendirian parti.
“Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan Kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat Yang Di Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negara,” katanya lagi. – Malaysiapost

