POLIS Diraja Malaysia (PDRM) digesa bertindak tegas terhadap pemimpin yang menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan Asmaaliff Abdul Adam, berkata pihaknya juga menggesa lebih ramai yang akan tampil membuat laporan polis terhadap isu yang disifatkan serius itu.
“Kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara semalam jelas menyatakan nama menteri dan pihak yang terlibat dalam perkara itu.
“Kita sudah kerah lebih ramai membuat laporan polis di seluruh negara hari ini untuk mendesak tindakan polis dalam perkara sangat serius ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Justeru, Asmaaliff berkata, pihaknya berharap polis tidak mengamalkan sikap pilih bulu dalam siasatan yang dilakukan.
Beliau berkata, rakyat dikejutkan dengan kenyataan balas yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) lewat petang semalam menunjukkan seolah-olah tidak rasa bersalah.
Katanya, sebelum ini beliau terkejut apabila mendapati kenyataan media menyusul selepas Seri Paduka Baginda manzahirkan dukacita apabila ordinan dibatalkan tanpa perkenan baginda.
“Seluruh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil tanggungjawab ke atas apa yang dilakukan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Asmaaliff berkata, Pemuda PH Wilayah Persekutuan akan berhimpun di Dataran Merdeka jam 11 pagi esok, untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu berkenaan.
“Ia bagi menyatakan bantahan dan rasa tidak puas hati kita terhadap kebiadaban kerajaan PN dalam isu Ordinan Darurat,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Susulan itu, PMO dalam kenyataan balas memaklumkan semua tindakan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

