PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya mara ke saingan separuh akhir esok dalam acara terjun 3 meter (m) papan anjal individu wanita.
Terdahulu, Nur Dhabitah telah mempamerkan aksi cemerlang dalam peringkat kelayakan yang berlangsung hari ini bagi acara tersebut di Pusat Akuatik Tokyo .
Beliau menamatkan saringan kelayakan itu di kedudukan ke-10 selepas mengumpul keseluruhan 291.60 mata sekali gus berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik yang layak ke separuh akhir.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami seorang lagi wakil negara Wendy Ng Yan Yee yang menamatkan saingan tersebut di kedudukan ke-20 dengan mata keseluruhan 251.95.
Peringkat kelayakan tersebut didominasi oleh wakil dari China yang juga penyandang pingat emas Rio 2016, iaitu Shi Tingmao dengan 350.45 mata, manakala Wang Han di kedudukan kedua dengan 347.25 mata disusuli penerjun Kanada, Jennifer Abel (332.40). – Malaysiapost

