KENYATAAN Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung pembatalan Ordinan Darurat semalam dilihat cuba menjustifikasi tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang jelas telah menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau percaya kenyataan PMO itu hanya menyebabkan rakyat semakin keliru dengan situasi yang berlaku.
“PMO dalam kenyataan itu cuba menjustifikasi tindakan kerajaan PN yang jelas telah menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya percaya rakyat bertambah keliru apabila membaca kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) petang semalam,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak keliru dengan perkara berkenaan kerana ia hanya akan menambah ‘stress’.
“Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, media melaporkan Peguam Negara terlebih dahulu datang ke kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara.
“Nasihat saya kepada semua jangan keliru-keliru sangat dengan kenyataan PMO itu. Nanti boleh bikin stress. Tenang-tenang saja,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hakikatnya perkara itu mudah untuk difahami oleh semua pihak.
“Semalam Yang di-Pertuan Agong bertitah dukacita dengan tindakan kerajaan mengumum pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.
“Yang di-Pertuan Agong dukacita apa yang dipersetujui dan diperkenan Baginda semasa Menteri dan Peguam Negara mengadap Baginda secara maya pada 24 Julai lalu tidak dilaksanakan.
“Iaitu Baginda bersetuju dan memperkenan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentang dan dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu bagi tujuan diungkaikan,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, tindakan membatalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen gagal menghormati prinsip undang-undang malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda.
Beliau berkata, Perkara 150(2B) dibaca dengan perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.
Katanya, kemudian PMO mengeluarkan kenyataan membayangkan Yang di-Pertuan Agong sepatutnya perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Kabinet.
“PMO memetik Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.
“PMO kata kerajaan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen bermula melalui surat pada 23 Julai 2021 (Parlimen bersidang pada 26 Julai 2021),” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, beliau menyimpulkan bahawa kemungkinan Perdana Menteri mengutus surat kepada Agong pada 23 Julai 2021 mohon perkenan batal Ordinan Darurat sebelum Parlimen bersidang.
“Pada 24 Julai 2021 Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada Menteri dan Peguam Negara Ordinan Darurat tetap perlu dibentang dan dibahas di Parlimen terlebih dahulu bagi tujuan diungkaikan.
“Tetapi kerajaan tetap umum ia telah dibatalkan sebelum Parlimen bersidang dengan hujah Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Susulan itu, PMO dalam kenyataan balas memaklumkan semua tindakan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
PMO menjelaskan, bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.
“Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua Ordinan Darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya,” katanya. – Malaysiapost

