PELAKON Amar Baharin tampil menawarkan dirinya kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, untuk menjadi penerima pertama suntikan vaksin ketiga jenis Sinovac.
Menerusi hantaran di Instagram, Amar juga berkongsi artikel kajian luar negara berkenaan kelebihan suntikan ketiga vaksin Covid-19.
“Selepas enam ke lapan bulan daripasa dos kedua, izinkan saya menjadi penerima pertama untuk mencuba suntikan dos booster ini ya KJ. Dengan izin Allah kalau diberi kesihatan yang baik,” katanya.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai komen dan pertanyaan termasuklah mempersoalkan adakah rakyat ini dijadikan sebagai bahan uji kaji.
Suami kepada pelakon Amyra Rosli itu menjelaskan bahawa niatnya mendapatkan suntikan vaksin ketiga tersebut kerana dia mempunyai anak-anak kecil yang berisiko jika terdedah pada wabak itu.
“Anak-anak saya masih belum ada vaksin yang sesuai. Jadi saya tidak mahu jadi penyebab atau pembawa virus pada keluarga. Insya-Allah saya usaha yang terbaik.
“Di Malaysia tidak pasti lagi jika hanya penerima Sinovac saja perlu suntikan dos ketiga. Belum ada pengesahan, saya baca global info sebab sudah ambil Sinovac. Jangan salah faham rakyat Malaysia, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan,” jelasnya.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji keberkesanan vaksin terhadap kes Covid-19 yang melibatkan varian Delta dan keperluan untuk suntikan ketiga vaksin. – Malaysiapost

