CITF pertimbang wujudkan PPV khusus bagi warga asing

0
1

KEPERLUAN mewujudkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus bagi warga asing sedang dipertimbangkan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), bagi mengelak kesesakan di PPV sekitar Lembah Klang.

CITF dalam satu kenyataan memaklumkan, fasiliti berkenaan akan diwujudkan mengikut bahasa, agar proses vaksinasi dapat dilakukan dengan lancar.

Menurut kenyataan itu, sumber-sumber yang diperlukan seperti penterjemah atau sukarelawan akan dapat ditempatkan di PPV berkenaan, sekali gus mengatasi masalah kesesakan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di PPV.

Katanya, langkah itu antara beberapa tindakan untuk memastikan kedatangan serentak penerima vaksin majoritinya daripada bukan warganegara dalam kumpulan besar di PPV tidak lagi timbul.

“Kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses suntikan mengambil masa lama.

“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran.

“Terdapat jurubahasa yang membantu, tetapi proses itu masih mengambil masa,” menurut kenyataan yang mengulas isu kesesakan di kebanyakan PPV di Lembah Klang.

Kenyataan itu memaklumkan, kesesakan juga terjadi apabila sebilangan besar penerima vaksin hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan dengan datang pada waktu pagi, sedangkan waktu janji temu di sebelah petang.

“Mengambil kira keperluan untuk tindakan segera diambil agar kesesakan yang menyumbang kepada pelanggaran SOP di waktu wabak Covid-19 menular dapat dielak, CITF mengambil beberapa langkah segera untuk mengatasi masalah ini.

“Antaranya, bekerjasama dengan polis untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama CITF sudah meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran, agar kesesakan daripada masalah komunikasi membabitkan warga asing itu dapat dielakkan.

“Hasil tindakan CITF ini, kesesakan di PPV terutamanya di waktu petang, dapat dikurangkan. CITF akan terus memantau perkara ini dan mengambil tindakan bersesuaian dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here