YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Baginda berdua menzahirkan penghargaan berkenaan di atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca serta 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai AS$5 juta bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19.
Istana Negara menerusi hantaran di Facebooknya, berkata Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud atas sumbangan itu yang tiba di negara menerusi dua pesawat Saudia Airlines semalam dan sebuah lagi hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai kemurahan hati Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan ini.
“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
“Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.
Terdahulu, media melaporkan lebih 4.5 juta unit peralatan perubatan pelbagai jenis dan sejuta dos vaksin keluaran AstraZeneca disumbangkan kerajaan Arab Saudi secara percuma kepada Malaysia.
Hishammuddin berkata, sumbangan itu dihantar menerusi tiga buah pesawat Saudia Airlines yang tiba pada semalam dan hari ini.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Arab Saudi atas tindakan amat responsif ini,” katanya – Malaysiapost

