LELAKI warga emas berumur 60 tahun yang disyaki melakukan persetubuhan luar tabie terhadap seekor kambing di Kampung Sungai Buaya dekat Rawang semalam, direman tujuh hari sehingga 4 Ogos ini.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Mohamad Azrul Mohd Sabri pagi tadi.
Prosiding itu pula dikendalikan oleh pegawai penyiasat polis, Inspektor Azman Abdul Karim.

Semalam media melaporkan perbuatan jijik warga emas tempatan itu dikesan oleh seorang wanita yang juga pemilik kambing selepas terdengar bunyi mengembek dari kandang di belakang rumahnya, kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata wanita tempatan berumur 45 tahun itu kemudian mendapati terdapat seorang lelaki yang dikenalinya dalam keadaan separuh bogel bangun dari sebelah kambing miliknya.
Katanya, lelaki tersebut kemudian melarikan diri manakala kambing peliharaan wanita itu telah mati.

Beliau memaklumkan, suspek yang mempunyai rekod jenayah ditahan pada jam 10.50 pagi semalam di kawasan semak Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya di Rawang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377 dan 289 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

