Wajar Parlimen izin usul percaya – Aziz Bari

0
1
aziz bari

AMAT wajar bagi Parlimen untuk mengizinkan usul percaya (motion of confidence) dikemukakan, apatah lagi dalam keadaan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum selesai.

Perkara itu dibangkitkan pakar Perlembagaan yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia kerana agak jelas bahawa pentadbiran kerajaan PN peringkat Persekutuan tidak menghormati kedudukan dan peranan Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Oleh itu, kita berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak lagi mencari helah untuk menyekat usul berkenaan dan tidak harus menyalahgunakan kuasa mengendalikan mesyuarat untuk menyekat rutin perlembagaan,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sepanjang tempoh Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.

Al-Sultan Abdullah Rrayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, rakyat berhak untuk berasa dukacita atas apa yang dilihat sebagai kekecohan ekoran pembatalan secara tiba-tiba Ordinan Darurat di Dewan Rakyat tiga hari lalu.

“Dan hari ini, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan rasa dukacita atas apa yang berlaku di Parlimen pada hari berkenaan.

“Apa yang penting daripada kenyataan tersebut ialah komitmen baginda kepada konsep Raja Berperlembagaan. Walaubagaimanapun, baginda kecewa dengan sikap kerajaan dalam menangani isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong ada peranan dan tidak harus diketepikan begitu sahaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here