Anwar kemuka usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat berhubung ketetapan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usul itu diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun susulan kenyataan Istana Negara hari ini mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu sidang media, usul itu dihantar jam 3 petang tadi di pejabat speaker.

“Dengan ini, kami mengambil ketetapan untuk menyatakan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan dimakzulkan (digugurkan) daripada jawatannya dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Anwar berkata PH juga telah hilang kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh itu terbukti telah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

“Pertama keengganan mereka (kerajaan) mengadakan apa saja bentuk pengundian kerana tahu telah hilang kepercayaan Ahli-Ahli Parlimen.

“Kedua setelah Titah Diraja disampaikan sekalipun, mereka masih ingkar dan mencari helah, kita tak boleh tunggu lagi.

“Parlimen telah bersidang dan kita telah menyatakan pandangan, majoriti di Dewan Rakyat hari ini menganggap Muhyiddin telah dipecat dan gugur jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Parlimen sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, jika Muhyiddin masih enggan meletak jawatan, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan apa yang terbaik untuk negara.

“Kita lihat perkembangan dalam satu dua hari ini, kalau perlu kita akan mohon mengadap (Yang di-Pertuan Agong),” katanya.

Terdahulu hari ini Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sepanjang tempoh Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.

Al-Sultan Abdullah Rrayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut menegaskan permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

Ia bukan saja gagal menghormati pnnsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. = Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here