KERAJAAN perlu bersedia dengan langkah radikal bagi mengelakkan kes Covid-19 mencecah 24,000 kes sehari seperti yang dijangkakan menjelang September ini.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perlu ada pendekatan radikal yang tidak boleh lagi bersifat ‘trial and error’ dan separuh masak sebagaimana pengalaman sebelum ini.
“Sejujurnya saya amat bimbang dan resah sejak membaca pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) yang menjangkakan angka kes Covid-19 bakal meningkat sehingga 24,000 menjelang September.
“Angka ini realistik memandangkan ketika inipun kes-kes sudah mencecah 17,000 sehari. Namun untuk turun sampai 1,000 sahaja bulan Oktober, saya sedikit curiga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai cukup persediaan dengan segala sumber dan kelengkapan hospital atau pusat rawatan bagi menghadapi angka 24,000 berkenaan.
“Apakah kenyataan KP Kesihatan ini menggambarkan kesediaan Kerajaan bertolak-ansur dengan angka 24,000 ini?
“Apakah Kerajaan mempunyai cukup persediaan dengan segala sumber dan kelengkapan hospital atau pusat rawatan bagi menghadapi angka 24,000 ini?
“Apakah Kerajaan juga rela dan bersedia untuk menerima angka kematian yang tentunya akan turut meningkat seiring dengan angka yang mencanak naik?” soalnya.
Menurutnya, bagi Pemuda UMNO, setiap nyawa amat berharga. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan angka kematian yang mencanak setiap hari. Cukup meruntun jiwa dan emosi setiap kali mendengar kematian ahli keluarga, rakan dan taulan.
“Pagi ini pun menerima berita kematian Ketua Pemuda Umno Cawangan di Masjid Tanah (Mohd Affendi Zainal) manakala isteri dan dua anak yang masih kecil turut positif.
“Pemuda Umno amat berharap, barisan pemimpin Umno dapat memanfaatkan sesi Parlimen pada hari ini untuk mencari penyelesaian demi untuk rakyat! Rakyat sudah cukup sengsara,” katanya. – Malaysiapost

