AHLI Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar secara berseloroh berharap kerajaan tidak mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bangunan Parlimen hari ini.
Ini kerana, katanya, semua Ahli Parlimen ‘dikurung’ di bangunan tersebut ketika ini dan tidak dibenarkan keluar kerana perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
“Dah kena kurung sampai petang, jangan umum PKPD di Parlimen pulak,” tulisnya ringkas menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu Sidang Khas Dewan Rakyat diangguhkan sehingga jam 5.15 petang hari ini susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua individu yang menghadiri persidangan positif Covid-19.
Susulan itu, semua yang hadir sidang khas sejak Isnin lalu hingga hari ini diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata beliau mendapat pemakluman mengenai kes Covid-19 berkenaan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.-Malaysiapost

