Dimalukan influencer, ucapan warga emas gelandangan buat netizen sebak

0
1

Nurul Huda Abhar

“MEMANG betul, bukan Tuhan mengubah nasib kita, kita sendiri yang ubah.”

Demikian kata warga emas gelandangan berusia 64 tahun yang tular di media sosial selepas didakwa diperlekehkan oleh influencer, Carl Shamsudin.

Tanpa sedikit pun perasaan marah, warga emas itu berkata hanya mampu membalas perbuatan itu dengan ucapan terima kasih.

“Terima kasih banyaklah. Saya tak boleh balas. Saya hanya serah pada Tuhan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.

Video tersebut dibanjiri dengan komen netizen yang sebak mendengar kata-kata tulus warga emas tersebut yang hanya berserah kepada Tuhan dengan apa yang berlaku pada dirinya.

Menerusi satu akaun Facebook Syed Anas Syed Ali, yang juga kakitangan Pusat Transit Kuala Lumpur, warga emas tersebut menerima kunjungan orang ramai setelah viral video lelaki itu diperlekehkan oleh influencer terbabit baru-baru ini.

Menurut Syed Anas, percakapan atau perbualan haruslah dijaga agar tidak menyinggung hati orang lain, khususnya mereka yang lebih tua.

“Kata orang Pahang, kena gaya kena cara… mana boleh main sapu rata,” katanya dalam hantaran itu.

Rata-rata komen netizen di hantaran tersebut melahirkan rasa syukur kerana masih ada insan mengambil berat kepada warga emas tersebut.

Mereka juga mendoakan agar warga emas terbabit lebih tabah dan kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada orang ramai agar berhati-hati bila berbicara agar tidak menyinggung perasaan insan lain.

Semalam, tular video influencer yang dikatakan pengasas butik Bella Ammara sedang mempersoalkan warga emas berusia 64 tahun itu adakah dia menyesal kerana tidak berusaha dan malas sewaktu muda sehingga menjadi gelandangan.

Difahamkan, individu terbabit bersama beberapa rakan ke pusat transit gelandangan itu untuk menyampaikan bantuan sebelum mengambil kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada gelandangan.

Susulan menerima kecaman hebat, pengasas butik Bella Ammara tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, hari ini.

Carl memberitahu tidak berniat untuk menghina sesiapa dan hanya mahu memberi motivasi kepada golongan itu untuk mengubah kehidupan.

Dia juga dipanggil polis dan dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika bercakap pada hari kejadian. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Syed Anas Syed Ali