Sultan Selangor dukacita pegawai kerajaan negeri terlibat rasuah

0
1
Sultan Selangor

SULTAN Selangor amat dukacita apabila mendapat tahu bahawa baru-baru ini terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu terlibat dengan kegiatan rasuah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perbuatan itu boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani menerusi kenyataan memaklumkan, baginda menegaskan bahawa sesiapa pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah, hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Mana-mana pegawai kerajaan dan ahli-ahli politik yang telah dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor dan didapati telah melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik balik.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan penghargaan baginda kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

“Baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas menerima hukuman sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Munir berkata, Sultan Selangor turut mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah satu gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara,” katanya lagi. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Royal Selangor Office

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here