
[PARLIMEN] AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil membangkitkan di Dewan Rakyat berhubung 12 doktor kontrak disiasat polis pada jam 3.45 pagi tadi.
Katanya, tidak sampai 24 jam selepas jaminan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Parlimen berkaitan peserta hartal untuk tidak akan diambil tindakan, namun nasib 12 doktor kontrak itu sebaliknya.
“Semalam Menteri Kesihatan berkata, tidak ada tindakan kepada doktor kontrak walaupun keluar berdemo kerana mereka berhak berbuat demikian.
“Tetapi, menurut laporan media pagi ini, polis mengambil keterangan mereka pada jam 3.45 pagi tadi dengan merakam percakapan 12 doktor di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia), Serdang.
“Jadi saya minta penjelasan adakah kenyataan Dr Adham itu bagi seluruh kerajaan atau hanya Kementerian Kesihatan atau sebahagian kerajaan, kenapa masih ada tindakan kepada doktor yang keluar (mogok),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Peguam Asheeq Ali mewakili kumpulan itu dilaporkan berkata, doktor, jururawat dan petugas perubatan lain di pusat kuarantin Covid-19 di MAEPS Serdang disoal siasat polis.
Ia susulan tindakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) serentak di seluruh negara pada Isnin lalu.
Semalam di Dewan Rakyat, Dr Adham dilaporkan berkata, KKM memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok tidak akan dikenakan tindakan disiplin.
Katanya, mereka berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
“Tidak ada apa-apa tindakan kepada mereka walaupun mereka keluar (mogok) semalam. Mereka berhak berbuat demikian,” kata Adham. – Malaysiapost
