Segera hentikan intimidasi, tekanan terhadap doktor kontrak – Amanah

0
1

AHLI Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak kerajaan termasuk pihak berkuasa untuk segera menghentikan intimidasi, tindakan serta siasatan terhadap doktor kontrak yang menyertai Hartal Doktor Kontrak pada Isnin lalu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, keengganan pihak kerajaan dalam mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan adalah suatu kegagalan nyata yang perlu ditempelak oleh segenap masyarakat.

“Barisan hadapan negara yang kian hari menabur bakti kini sedang disiasat dan ditekan hanya kerana mereka bersuara untuk mendapatkan hak mereka.

“Jaminan dan janji oleh YB Menteri Kesihatan di Parlimen pada semalam untuk memastikan tidak ada sebarang tindakan ke atas doktor kontrak ternyata hanyalah omongan kuasa dan Menteri Kesihatan tidak jujur untuk membela nasib doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau ingin mengingatkan bahawa perhimpunan Hartal Doktor Kontrak tersebut telah berlangsung dengan aman dan tidak ada sebarang sebab untuk siasatan ataupun tekanan dikenakan.

“Tekanan ke atas doktor kontrak yang belum berhenti inilah yang akan membawa kepada kelumpuhan sektor kesihatan awam negara.

“Kami juga menempelak siasatan yang dilakukan di PKRC MAEPS Serdang tengah malam tadi dan ke atas seorang doktor dari Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu semalam.

“Kedua siasatan ini dinafikan hak mereka mendapat akses peguam!

“Kami juga dimaklumkan siasatan polis masih diteruskan di PKRC MAEPS pada petang ini,” katanya.

Justeru, Amanah mendesak satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri supaya sebarang siasatan melibatkan ‘frontliner’ ini dihentikan serta-merta.

“Dalam apa keadaan sekalipun, peguam-peguam Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (Kanun) bersedia pada bila-bila masa bagi mempertahankan hak doktor muda ini,” katanya.

Kanun menyediakan talian hotline di talian 010-4587548 kepada mana-mana doktor atau pekerja kesihatan yang dikenakan sebarang tindakan intimidasi atas sebarang penglibatan dalam gerakan ini.

Sebelum ini, Malaysiapost melaporkan hampir 50 doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) melaksanakan hartal atau mogok bagi menuntut hak peluang kerjaya adil dan faedah yang sama seperti doktor berjawatan tetap.

Difahamkan, hartal berkenaan bermula jam 11 pagi isnin lalu dengan sekumpulan doktor berkenaan berarak keluar daripada bangunan HKL bagi menunaikan Gerakan Hartal Doktor Kontrak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here