Kerajaan Allah sahaja maha sempurna

0
2
hadi awang fb

SUARA ejekan riuh-rendah apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin membuat kenyataan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak sempurna, menandakan tahap kefahaman mereka tanpa disedari dirinya bersifat sangat jahil.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata itulah akibat apabila politik dipisahkan daripada agama sehingga menjadikannya tidak berakhlak, tanpa menyedari sikap yang terlanjur sehingga melupakan bahawa tiada yang sempurna melainkan Allah SWT sahaja.

“Seseorang yang beriman hendaklah menunjukkan sifat tawadhu‘ secara terbuka dan menunjukkan moral yang tinggi menjadi hamba Allah SWT.

“Selain itu juga, hendaklah beriman bahawa Allah SWT sahaja yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan. Khususnya dalam menghadapi wabak penyakit besar melanda seluruh dunia yang tidak diketahui bilakah penghujungnya,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Abdul Hadi berkata, Allah SWT memberi kurniaan menjadi kerajaan kepada golongan yang beriman dan tidak beriman, bagi menguji mereka dalam kehidupan dunia ini.

Pada masa sama, katanya, Allah SWT memberikan petunjuk dan membuka pintu keampunan serta taubat seluas-luasnya.

“Ada sebahagian daripada mereka yang menyedari bahawa dirinya hanyalah makhluk Allah SWT dan hamba-Nya yang lemah. Ada juga sebahagiannya yang sombong atau takabbur dengan menganggap hanya dirinya sahaja yang sempurna.

“Termasuklah ujian Allah SWT kepada kerajaan yang didirikan oleh Rasulullah SAW, makhluk-Nya yang dilantik menjadi teladan kepada seluruh manusia, juga tidak disempurnakan kerajaan tersebut dalam sekelip mata. Maka, diturunkan ayat-ayat al-Quran yang disempurnakan dalam tempoh masa lebih 20 tahun.

“Ayat-ayat yang diturunkan menyentuh perkara dasar yang tidak berubah menjadi pegangan teguh sejak Nabi Adam AS hingga Hari Kiamat. Begitu juga ayat-ayat yang diturunkan dengan sebab kelemahan manusia, termasuklah kesilapan yang berlaku sebagai bentuk tarbiah yang lebih berkesan kepada mereka.

“Khususnya dalam urusan kehidupan manusia yang berubah, berbeza dan tersilap, maka ayat yang diturunkan memperbetul kesilapan yang berlaku,” katanya.

Justeru, katanya, itulah hikmahnya sebab Allah SWT meletakkan Adam AS dan Hawwa AS ke bumi, setelah didahulukan kedua-duanya dengan kesilapan yang menandakan kelemahannya, namun mereka kemudiannya bertaubat dan sebaliknya hanya makhluk Iblis menganggap dirinya sahaja sempurna dan tidak perlu bertaubat serta membetulkan dirinya.

Beliau berkata, Islam memperkenalkan konsep syura dan nasihat bagi mengatasi kelemahan manusia dengan izin Allah SWT, masing-masing dibenarkan untuk memberi pendapat dengan berijtihad dalam perkara yang tiada nas daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW yang ditetapkan oleh-Nya.

“Dalam perkara ijtihad, seseorang itu diberikan dua pahala sekiranya betul dan hanya diberikan satu pahala sahaja kepada yang salah. Rasulullah SAW sendiri menerima nasihat para sahabatnya dalam urusan keduniaan.

“Setiap ketua negara Islam dalam kalangan Khulafa’ al-Rasyidin menyampaikan ucapan supaya semua pihak menegur dan menasihati, sekiranya mereka melakukan kesilapan atau mempunyai kelemahan pada diri dan kerajaan yang dipimpin. Bahkan, kita telah menyaksikan kenyataan sejarah bahawa mereka yang memberi nasihat itu sangat beradab dan bersifat ikhlas,” katanya.

Abdul Hadi seterusnya berkata, kedatangan wabak Covid-19 adalah suatu ujian Allah SWT kepada seluruh dunia yang tiada mana-mana kuasa besar dan kuasa kecil yang dapat menghalangnya.

Namun begitu, katanya, manusia diuji dengan keinsafan manakala ilmu dan akal diwajibkan untuk terus merancang, berusaha dan berikhtiar bagi menghadapi ujian wabak dan segala kesan sampingannya.

“Adapun yang menentukan kejayaan memerangi wabak itu adalah kurniaan Allah SWT yang wajib diusahakan dan dipohonkan pertolongan

daripada-Nya. Dalam keadaan begini, terdapat orang yang bersabar dan bersyukur. Ada juga tidak bersabar dan kufur.

“Allah SWT mengurniakan kemampuan akal dan ilmu kepada manusia, di samping kemampuan hidup bermasyarakat yang mewajibkan mereka saling bertolong-menolong sesama sendiri. Sehingga manusia dapat menghadapi masalah besar dalam kehidupan dunia yang menjadi sebahagian daripada hikmah mereka diciptakan oleh Allah SWT dan berada di alam dunia.

“Wabak yang mencipta sejarah dunia ini memberi kesan sampingan menyeluruh kepada manusia, sama ada secara individu, keluarga dan masyarakat sehingga ke peringkat dunia yang luas. Malahan, ia melibatkan urusan agama, politik, ekonomi dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu katanya, tindakan yang wajib secara fardhu ‘ain dan fardhu kifayah perlu dilakukan, bukan sahaja dalam aspek perubatan, bahkan melibatkan aspek pentadbiran, keselamatan dan segala kegiatan serta pergerakan untuk hidup.

“Situasi wabak Covid-19 yang dihadapi kini, memerlukan kerjasama sejagat yang holistik, sehingga seluruh manusia laksana berada dalam satu bahtera yang sedang menghadapi taufan yang besar,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here