Ada orang sengaja kelirukan rakyat apabila kerajaan umum Ordinan Darurat ditamatkan

0
2
Parlimen Malaysia

NAMPAKNYA ada orang sengaja mengelirukan rakyat apabila kerajaan mengumumkan Ordinan-Ordinan Darurat ditamatkan melalui mesyuarat Kabinet pada 21.7.2021.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, lafaz sumpah telah termaktub untuk jawatan-jawatan awam termasuk menteri. Keperluan sumpah berlaku daripada peringkat paling tinggi dalam sistem Persekutuan termasuklah menteri-menteri dan hakim-hakim.

Dalam Perkara 43 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa sebelum seseorang menteri Persekutuan menjalankan fungsi jawatannya, dia hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak dan menteri-menteri Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan lain-lain pun banyak merahsiakan keputusan-keputusan kerajaan semasa menjawat jawatan.

Sekadar mengingatkan, kenapa Lim Guan Eng merahsiakan kelulusan senyap bajet pendidikan kepada sekolah-sekolah Cina yang dimohon oleh Timbalan Menteri Pendidikan semasa PH memerintah? Adakah rakyat dimaklumkan? Adakah bantuan itu mengikut Perlembagaan?

Kenapa Dr Mahathir merahsiakan kepada rakyat atau Parlimen sumbangannya kepada Mugabe suatu ketika dahulu adakah menggunakan wang kerajaan atau wang peribadi? Kenapa sehingga kini masih merahsiakan pembunuhan pegawai BMF di Hong Kong?

Kenapa Tun merahsiakan kepada rakyat atau Parlimen berapakah bayaran diberikan kepada pelobi Israel di Amerika Syarikat untuk berjumpa Presiden Amerika Syarikat ketika menjadi Perdana Menteri?

DS Najib sendiri kenapa merahsiakan kepada rakyat perjanjiannya untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas PRU13?

Banyak lagi yang boleh didedahkan tetapi apabila mereka menjawat jawatan kerajaan termasuklah menteri, mereka terikat kepada sumpah menyimpan rahsia kerajaan. Sebab itulah, kebanyakan mantan Perdana Menteri hanya mendedahkan sedikit rahsia kerajaan apabila mereka sudah berpencen dalam bibliografi mereka.

Berbalik kepada isu Darurat tadi. Keputusan memansuhkan Darurat kerana desakan dan permintaan rakyat, maka kerajaan melayan permintaan itu dan meluluskan penamatan ordinan-ordinan Darurat pada 21.7.2021. Ia bertaraf RAHSIA BESAR di mana tidak ada menteri-menteri boleh mendedahkannya kepada awam, melainkan kepada institusi Parlimen.

Kerajaan juga telahpun mengadap Yang di-Pertuan Agong malah wakil tertinggi kerajaan yang dibenarkan oleh Perlembagaan telah juga mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong penamatan ordinan-ordinan Darurat. Maka tidak timbul tuduhan pembangkang kononnya kerajaan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman oleh Menteri Undang-Undang pada 26.7.2021 secara tidak rasmi hanya memaklumkan keputusan Kabinet, bukan mengisytiharkan pembatalan proklamasi Darurat.

Pembatalan proklamasi Darurat hanya boleh diisytiharkan oleh YDPA, tetapi menteri boleh memaklumkan keputusan mesyuarat Kabinet dalam Parlimen atas permintaan ahli-ahli Parlimen sendiri.

Dalam hal-hal ini, kerajaan sangat terbuka. Apabila pembangkang mendesak Parlimen dibuka, maka kerajaan buka. Apabila pembangkang mendesak Darurat ditamatkan, kerajaan bersetuju menamatkan ordinan-ordinan Darurat.

Kesimpulan, mari kita fokus ke hadapan bersama-sama menjayakan program vaksinasi mencapai 80% sepertimana kejayaan Labuan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

DR ZACH
POLITICAL SCIENCE, PUTRAJAYA
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here