YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan laporan sebuah portal berita kononnya Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon menukar tempat duduk dalam sidang khas Dewan Rakyat.
Malaysia Dateline melaporkan bahawa Presiden Umno itu bersama tiga lagi wakil rakyat dari parti berkenaan meminta untuk menukar tempat ke blok Bebas.
Selain Ahmad Zahid, ahli parlimen lain adalah Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).
Azhar menegaskan, beliau tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada ahli-ahli parlimen tersebut.
“Saya anggap berita itu adalah satu pembohongan dan fitnah terhadap saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, portal itu melaporkan selain Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, empat lagi wakil rakyat juga dikatakan meminta supaya kedudukannya di Dewan Rakyat dipindah ke blok Bebas.
Laporan tersebut yang memetik sumber memberitahu, keempat-empat ahli parlimen Umno berkenaan memohon pindah tempat duduk itu minggu lalu.-Malaysiapost

