SEBAGAI tanda sokongan terhadap atlet Malaysia yang berjuang di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengabadikan kesemua nama mereka pada pakaiannya.
Beliau yang kini berada di Tokyo bersama kontinjen negara berharap, mereka dapat memberikan aksi dan persembahan terbaik selepas menghadapi cabaran terutama pandemik Covid-19.

“Hari ini merupakan hari kelima temasya Olimpik Tokyo 2020. Memang berlainan atmosfera di sini. Semangat, aura dan kesungguhan setiap atlet yang bertanding dalam keadaan pandemik ini luar biasa.
“Begitu jugalah barisan atlet kita. Semangat #DemiMalaysia begitu kental dalam diri mereka. Saya dapat lihat ‘struggle’ dalam 16 bulan mereka mencari rentak untuk mara ke Olimpik.
“Mereka perlukan ruang untuk berlatih dan pada masa sama kita perlu sediakan gelembung selamat untuk mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, beliau secara peribadi berasa kerdil apabila melihat besarnya jiwa kontinjen negara untuk membawa nama negara.
“Kalah dan menang adat pertandingan. Namun aksi dan persembahan mereka yang bertenaga akan kekal dalam memori kita.
“Saya abadikan sokongan terhadap kesemua 30 orang wira negara bagi setiap acara mereka dalam persalinan saya ke bumi Tokyo ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun pasukan negara beraksi tanpa sokongan penonton di temasya berkenaan, beliau yakin rakyat Malaysia sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan mereka.
“Kepada wira-wira negara, meskipun para penyokong tidak dapat berada di sini, kami sentiasa ada untuk anda, saat menang atau kalah. ‘Don’t worry’. Malaysia sentiasa di belakang anda semua,” katanya. – Malaysiapost

