
PAKAR Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah mengingatkan agar hak doktor kontrak dibela.
Menerusi Twitternya, beliau mengulangi peringatan agar doktor kanan menjunjung tinggi profesionalisme dan integriti berhubung tindakan doktor kontrak terbabit dalam himpunan Hartal Doktor Kontrak semalam.
“Jangan. Saya ulangi, jangan sekali-kali meletakkan profesionalisme dan integriti di bawah perkara lain.
“Tak payahlah nak minta jadual waktu, daftar mereka. Mengapa tiba-tiba nak submit kepada orang atas? Sebelum ni mereka tidak minat pun. Tidak ada yang lebih baik untuk dilakukan? katanya.
Semalam, lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman beserta dengan beberapa tuntutan kepada kerajaan.
Perhimpunan Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dibuat serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM).
Sesetengah doktor kontrak terbabit dikatakan meninggalkan fasiliti kesihatan, manakala sebahagian lagi yang masih bertugas menunjukkan solidariti dengan mempamerkan plakad, pada jam 10.30 pagi, semalam. – Malaysiapost
