CUEPACS harap doktor kontrak sertai mogok tidak kena tatatertib

0
1

CUEPACS pada dasarkan tidak bersetuju dengan Hartal Doktor Kontrak yang dilakukan sekumpulan pegawai perubatan kontrak kerana khuatir boleh menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pada pandangannya terdapat cara lain yang boleh dilakukan daripada bertindak melakukan aktiviti berkumpul tersebut.

Bagaimanapun, katanya CUEPACS menghormati suara yang dibawa oleh kumpulan pegawai perubatan kontrak berkenaan yang disifatkan hanya mahu permasalahan mereka didengari dan diselesaikan oleh kerajaan.

“CUEPACS berharap kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan daripada sudut perundangan mahupun tindakan tatatertib yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan pegawai perubatan kontrak ini.

“CUEPACS difahamkan tindakan ‘demonstrasi’ tersebut tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan sedang bercuti.

“Berilah mereka peluang yang sewajarnya memandangkan perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak berhubung penempatan mereka khususnya dari aspek keseluruhan sistem dan struktur bidang kesihatan negara.

Katanya, kerajaan perlu memberikan satu ‘time frame’ yang jelas terhadap usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan melalui pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerajaan juga perlu melihat semula penempatan doktor yang bukan pada skop dan fungsi asalnya. Ketika ini terdapat juga doktor yang bertugas di bahagian pengurusan untuk laksana kerja pentadbiran dengan juga kewangan sedangkan kepakaran mereka adalah di bahagian perubatan dan perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.

Pada masa sama, CUEPACS berharap kerajaan dapat membuka ruang untuk doktor kontrak melanjutkan bidang kepakaran di mana-mana intitusi yang diiktiraf kerajaan tanpa hanya fokus boleh menjadi pakar jika telah berkhidmat dengan hospital kerajaan sahaja.

Beliau berkata, dasar sekarang telah menutup peluang doktor muda untuk menyambung bidang kepakaran jika tidak berkhidmat di sektor kerajaan.

“Disebabkan dasar itulah ada desakan untuk doktor muda ini mendapat jawatan tetap bagi tujuan sambung belajar.

“Dasar ini bolehlah diubah sebagaimana Skim Pegawai Farmasi dan Skim Pegawai Pergigian yang boleh sambung belajar tanpa melalui Kementerian Kesihatan.

“Hospital swasta juga boleh mengambil tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan bagi doktor-doktor muda ini menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan kepakaran mereka juga diperlukan oleh hospital swasta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here