AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan ujian saringan Covid-19 yang dilakukannya termasuk menggunakan kit kendiri setakat ini menunjukkan keputusan negatif.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Umno, berkata ujian kendiri yang dilakukannya pada jam 7 malam tadi dan jam 4 petang hari ini adalah negatif.
Menurutnya, beliau kini bersedia untuk menghadiri Sidang Khas Parlimen esok dan menzahirkan rasa simpati kepada Ahli Parlimen yang disahkan positif Covid-19.
“Negatif sekali lagi jam 4 petang 25/7/21. Guna air liur saya dan test kit Covid-19.
“Sedia ke Parlimen pagi esok 26/7/21. Semoga semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Dalam satu lagi ciapan, beliau mendoakan agar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disahkan positif Covid-19 agar segera pulih.
“Didoakan agar Presiden Umno segera pulih. Cabaran demi cabaran yang dihadapi. Semoga jasmani, emosi, rohani dan minda kekal kukuh.
“Bukan berapa kali kita jatuh yang dikesali. Namun, yang lebih penting ialah berapa kali kita terus bangkit dan bingkas bangun kembali,” katanya. – Malaysiapost

