Serap doktor kontrak ke jawatan tetap – Tok Mat

0
1
Datuk Seri Mohamad Hasan

KERAJAAN digesa supaya menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap bagi mengambil kira sumbangan dan pengorbanan kumpulan terbabit terutama sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata langkah itu selepas tawaran penyelesaian diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat adalah langkah ke hadapan yang positif tetapi masih tidak menyelesaikan tuntutan mereka.

Menurutnya, tuntutan kumpulan terbabit adalah jelas iaitu serapan ke jawatan tetap tidak berpencen, mencukupi dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan laluan kerjaya yang lebih menjamin.

“Hartal pegawai perubatan kontrak akan diteruskan esok.

“Penyerapan mereka ke jawatan tetap adalah penyelesaian yang Malaysia perlukan.

“Pandemik selama 18 bulan telah menonjolkan pelbagai kelemahan ketara dalam sistem kesihatan kita. Malaysia memerlukan peningkatan drastik untuk sistem kesihatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaburan dalam sektor kesihatan sangat perlu dipertingkatkan dalam lingkungan tujuh ke 10 peratus GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan paradigma akses universal mesti diselarikan dengan peningkatan kualiti perubatan.

“Nisbah yang lebih baik untuk doktor kepada penduduk mesti diutamakan. Nisbah pakar untuk 10,000 penduduk wajar dipertingkatkan dari 3.4 pada 2018 kepada 15 selari dengan tanda aras OECD ( Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi).

“Penyelidikan, kesihatan pencegahan, digitalisasi serta sistem sokongan lain, semuanya memerlukan peningkatan berganda,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menyediakan garis panduan yang lebih jelas selepas ini untuk memasuki perkhidmatan bagi memastikan tiada berlakunya lambakan pegawai perubatan.

“Kepada semua doktor kontrak Malaysia, saya menyeru, hartal anda adalah hak anda untuk bersuara dan menunjuk rasa.

“Tetapi semasa negara menghadapi krisis kesihatan ini, fikirkan sebaik-baiknya…kami menghormatinya dan kami juga mengiktiraf sumbangan anda pada tanah air.

“Insya-Allah perjuangan anda adalah juga perjuangan kami demi Malaysia yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here