YANG di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, mencadangkan agar seluruh rakyat Malaysia mengadakan solat hajat atau sembahyang mengikut agama masing-masing bagi memohon agar wabak Covid-19 dapat dibasmi.
Menurutnya, wabak Covid-19 yang melanda menjangkiti dan memberi kesan terhadap semua rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.
“Sang Covid-19 terus melanda tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.
“Apa kata jika semua pemimpin dan penganut agama tanah air lakukan sembahyang ikut agama masing-masing pada satu hari khas ke arah pembasmian pandemik ini?” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Kes Covid-19 di Malaysia kini sudah melepasi angka sejuta kes dengan 17,045 kes baharu harian dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 1,013,438 kes sejak wabak berkenaan melanda negara.
Jumlah kumulatif kematian akibat wabak berkenaan pula adalah sebanyak 7,902 kes setakat semalam. – Malaysiapost

