Ahli Parlimen Umno diminta laksanakan dua ketetapan esok – Zahid

0
1
Sidang media penutup Perhimpunan Agung UMNO 2020

PROKLAMASI Darurat dan ordinan yang diputuskan sebelum ini akan menjadi keutamaan Umno dalam Sidang Khas Parlimen bermula esok.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua Ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan pendirian untuk mengusulkan agar Parlimen membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan ordinannya serta perlu menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkannya.

Beliau berkata, ketetapan itu adalah berpandukan beberapa asas iaitu penolakan rakyat yang Umno wakili terhadap Proklamasi Darurat dan ordinannya yang ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat.

“Pelaksanaan darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen.

“Memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketetapan itu juga berasaskan implikasi Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat akan terus berjalan selama enam bulan sekiranya tidak dibatalkan sebagaimana Peruntukan 150(3).

“Ini adalah bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 29 Oktober 2020 serta 25 April, 16 Jun dan yang terbaru 7 Julai lalu.

‘Ia juga berasaskan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang memutuskan tiada keperluan untuk darurat diteruskan dan segala Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, ia juga bagi mentaati keputusan parti pada 25 April lalu, bahawa sekiranya darurat diteruskan selepas 1 Ogos ini, maka Ahli Parlimen Umno akan menarik sokongan dan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada Umno akan meletakkan jawatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here