TENAGA Nasional Berhad (TNB) meluluskan geran sepadan berjumlah RM1.63 juta untuk Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) bagi membantu golongan rentan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sejak dilancarkan 9 Jun lalu, lebih RM1.63 juta disumbangkan secara sukarela melalui potongan gaji Jun dan Julai oleh warga kerja TNB, termasuk pengurusan tertinggi dan Ahli Lembaga Pengarah organisasi itu.
Katanya, keprihatinan warga kerja TNB untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan sangat baik dengan jumlah kutipan melebihi sasaran.
“Angka kutipan melepasi sasaran RM1.5 juta ditetapkan pada tarikh tabung ditutup pada 12 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahzir berkata, sebagai perangsang kepada usaha murni tersebut, Ahli Lembaga Pengarah TNB bersetuju menggandakan jumlah kutipan menjadikan jumlah tabung keseluruhan kini meningkat kepada RM3.26 juta.
“Peka dengan golongan berdepan pelbagai kesusahan dan tertekan akibat pandemik menyebabkan TNB sepakat menubuhkan Tabung WTP sebagai kaedah bagi warga kerja bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.
“Ini amat penting dalam usaha menyeluruh TNB membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Beliau berkata, TNB sejak awal tahun ini menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 kumpulan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula, membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.
“TNB turut sama menjayakan program Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri dengan tajaan berjumlah RM2 juta.
“Program membabitkan pengagihan 420,000 bakul barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat wabak mendapat tajaan beberapa syarikat berkaitan kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Projek (PMO Electric Vehicle) Bahagian Strategi Venture TNB, Ir Mohd Junaizee Mohd Noor yang mewakili pengurusan dan warga kerja berterima kasih kepada Lembaga Pengarahnya atas kelulusan geran tambahan itu.
“Kelulusan geran sepadan ini menzahirkan nilai keprihatinan tinggi segenap lapisan warga kerja TNB dan semoga sumbangan ikhlas ini mendapat keberkatan Allah,” katanya.
Pada masa sama, seorang daripada 2,189 penerima Tabung WTP, R Suganthi menyifatkan sumbangan itu membawa makna sangat besar kepadanya.
Suganthi berkata, dia akan menggunakan bantuan diterima bagi membeli ubat-ubatan dan keperluan seperti susu untuk anaknya yang mengalami masalah tulang akibat kemalangan.
“Sumbangan TNB ini membuatkan saya rasa bersemangat untuk keluar daripada kesusahan hidup ini,” katanya. – Malaysiapost

