ORANG ramai yang berada di pekarangan Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Bandar Perda, dikejutkan dengan kelibat individu lengkap berpakaian seperti adiwira yang muncul menaiki kenderaan golf atau ‘buggy’.
Individu memakai kostum salah satu daripada karakter Ultraman iaitu Ultraseven, kelihatan bersahaja dan sempat melayani mereka yang ingin bergambar sebelum menuju ke tempat pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Mohamad Syukur Mohd Patthi, 27, mengakui teruja apabila dapat mengenakan kostum adiwira untuk mendapatkan vaksin.
“Saya dapat panggilan untuk ke PPV (pusat pemberian vaksin) ini saat akhir dan persiapan (memilih kostum) juga dibuat saat akhir.
“Memandangkan belum ada mana-mana penerima vaksin memakai kostum Ultraman atau Ultraseven setakat ini, maka adiwira itu menjadi pilihan saya,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Mohamad Syukur sebelum ini pernah mencuri tumpuan apabila dia bersama rakan-rakannya dikenali sebagai Geng Superhero Penang (GSP) menjual air jagung di tepi jalan sekitar Kepala Batas, Seberang Jaya dan Bukit Mertajam dengan mengenakan kostum adiwira.
Selain karakter Ultraseven, dia pernah mengenakan beberapa kostum adiwira terkenal lain termasuk Bumblebee, Optimus Prime, Batman, Kamen Rider, Iron Man, Spiderman serta Power Rangers.
Kostum itu adalah koleksi peribadinya sendiri dan sering digayakan ketika dijemput memeriahkan majlis sambutan hari lahir dan sebagainya sebelum ini.
Dalam pada itu, Mohamad Syukur, bekas pekerja sebuah syarikat telekomunikasi berkata, dia mengenakan kostum Ultraseven ketika hadir menerima suntikan vaksin bertujuan menghiburkan orang ramai khususnya petugas barisan hadapan.
“Lagipun sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sudah lama saya tidak memakai kostum kerana tak ada ‘job’ (kerja),” katanya yang turut berkhidmat sebagai ‘runner’ separuh masa dengan sebuah syarikat kurier ketika ini.
Dia bagaimanapun belum memikirkan kostum adiwira yang sesuai untuk dikenakannya apabila hadir menerima suntikan vaksin kedua nanti. – Malaysiapost

