MESYUARAT Khas Parlimen yang bermula Isnin ini akan dimulakan dengan penerangan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Khas Penggal ketiga Parlimen ke-14 yang bermula pada jam 10 pagi Isnin ini yang diedarkan kepada Ahli Parlimen.
Selepas itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi penerangan berkenaan tindakan menangani Covid-19.
Ia disusuli Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi penerangan mengenai program vaksinasi, sebelum Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengambil tempat menjelaskan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi.
Sesi penerangan berikutnya melibatkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelaksanaan darurat.
Ia kemudian diikuti dengan Ahli-Ahli Parlimen meminta penjelasan dan memberikan pandangan, serta diakhiri dengan menteri menjawab isu-isu yang dibangkitkan.
Pada sesi sama, sebanyak 12 risalat atau dokumen berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat akan dibentangkan.
Sesi selama lima hari bermula Isnin ini adalah kali pertama Ahli Parlimen akan kembali ke bangunan Parlimen bagi menghadiri sidang khas Dewan Rakyat selepas persidangan ditangguhkan sejak awal tahun berikutan pandemik Covid-19.
Persidangan itu akan dilaksanakan secara bersemuka melibatkan kehadiran semua Ahli Parlimen di dalam dewan, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. – Malaysiapost


