KERAJAAN Pahang menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 sebuah, untuk didiami secara percuma oleh lapan beradik yang kematian ibu bapa akibat Covid-19, baru-baru ini.
Tapak rumah RRP yang dicadangkan ialah di kampung asal Allahyarham ibu, serta datuk dan nenek mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sementara menunggu rumah itu siap, rumah sewa sementara akan juga disediakan dan dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib lapan beradik ini, yang sulung – Cik Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun.
“Manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun, kini tinggal menyewa bersama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berkata, demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama ibu saudara mereka, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.
Selain itu, katanya, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang pula sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.
“Pegawai pejabat saya telah pun menghubungi Cik Nazurah dan saya berharap, tawaran ini akan diterima,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Malaysiapost melaporkan Nazurah Nabilah kini menggalas tanggungjawab sebagai ‘ibu bapa’ kepada tujuh adiknya berikutan kematian kedua ibu bapa mereka akibat Covid-19.
Menurut Nazurah yang juga pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Mersing, Johor, arwah ibu dan ayahnya sebelum ini pernah berpesan supaya jaga adik-adiknya dan jangan berpisah.
Susulan itu, gadis tersebut sedia memikul tanggungjawab itu dan akan ingat pesanan ayah dan ibunya. – Malaysiapost

