OLE Gunnar Solskjaer telah menandatangani kontrak baru di Manchester United yang akan menyaksikannya kekal bersama kelab itu sehingga 2024, dengan pilihan lanjutan untuk setahun lagi.
Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward berkata Ole dan barisan kejurulatihan telah bekerja tanpa lelah meletakkan asas untuk kejayaan jangka panjang pasukan itu.
“Hasilnya menjadi semakin jelas dalam dua musim terakhir dan kami semua tidak sabar untuk melihat pasukan yang menarik ini berkembang lebih jauh pada tahun mendatang.
“Yang sangat menggembirakan adalah bagaimana kemajuan ini dicapai dengan bakat muda, pemain tempatan dan rekrut berkelas tinggi serta bermain bola sepak menyerang mengikut tradisi Manchester United.
“Di bawah kepimpinan Ole, kami menuju ke arah yang betul,” katanya menerusi laman rasmi Manchester United.
Sementara itu Ole, pengandali dari Norway melahirkan rasa gembira menandatangani kontrak baharu itu.
“Ini adalah masa yang menggembirakan bagi Manchester United, kami telah membina skuad dengan keseimbangan pemain muda dan berpengalaman yang dahagakan kejayaan.
“Saya mempunyai pasukan yang hebat dan kita semua sudah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam perjalanan ini.
“Manchester United mahu memenangi trofi terbesar dan terbaik dan itulah yang kita semua berusaha. Kami telah meningkat, baik di dalam mahupun di luar padang.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke Old Trafford yang penuh sesak dan memulakan kempen musim baharu,” katanya.
Ole mengambil alih tugas sebagai pengurus pada penghujung 2018 daripada Jose Mourinho sebelum diberikan peranan tetap pada Mac 2019. – Malaysiapost

