PENERIMA vaksin Covid-19 yang merasa diperdayakan dan mendakwa disuntik picagari kosong boleh membuat ujian keberadaan pelalian itu dalam badan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ujian ‘Covid Neutralizing Antibody’ boleh dilakukan di makmal perubatan berlesen.
Menurutnya, ia boleh dilakukan selepas tempoh 30 hari menerima suntikan dos kedua vaksin berkenaan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menerima pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah penerima-penerima vaksin Covid-19.
“Ingin ditegaskan sekiranya penerima vaksin mengesyaki menerima suntikan vaksin kosong, mereka boleh membuat laporan di balai polis berhampiran dan siasatan akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Jalil berkata orang ramai juga boleh membuat laporan sekiranya mengesan tawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran yang bukan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Siasatan akan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
“Sehingga kini PDRM masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin-vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya,” katanya. – Malaysiapost

