SEBANYAK sembilan lokaliti di Perak, Kedah, Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin ini hingga 8 Ogos depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Dua lokaliti di Daerah Kinta, Perak iaitu Medan Klebang Restu (Mukim Chemor) dan Bandar Pulai Jaya (Mukim Sg. Raia), manakala di Pahang membabitkan Blok 5 FELDA Keratong 7, dan di Kedah membabitkan Asrama Pekerja dan Tapak Bina Hospital Pendang, Pendang.
“Sabah membabitkan dua lokaliti di Daerah Beaufort, iaitu Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias, manakala selebihnya adalah di Perumahan Ladang Kim Loong, Beluran; Kampung Tungkang, Kudat; dan Kampung Telisai, Tungku, Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di tujuh lokaliti di Sabah bermula esok.
Lokaliti yang ditamatkan PKPD berkenaan adalah Ql Farm Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar; Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud; dan tiga lokaliti di Kota Kinabalu, iaitu Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher, Sulaman dan Bandaran Berjaya. – Malaysiapost

