ORANG ramai dinasihat tidak menggunakan simbol # atau tanda pagar berunsur subversif dalam media sosial kerana boleh mendatangkan ketakutan dan kegentaran awam kepada masyarakat.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata penggunaan simbol termasuk tanda pagar tertentu sering digunakan sebagai kaedah untuk menimbulkan keterujaan berhubung objektif tertentu.
Menurutnya, penggunaan simbol tanda pagar kerap digunakan khususnya pada golongan muda termasuklah dalam bentuk negatif, provokasi dan elemen radikal sekiranya ia digunakan untuk tujuan terbabit.
“Beberapa siri penentangan serta keganasan yang berlaku di beberapa negara di dunia jelas menggunakan kaedah simbolisme berbentuk subversif yang memberi keterujaan palsu kepada pengguna media sosial khususnya golongan muda untuk membentuk gerakan penentangan dalam negara berkaitan.
“Malahan pembunuhan kejam di Christchurch, New Zealand juga dikatakan bermula diakibatkan oleh pengaruh awal dari simbol pergerakan Neo Nazi melalui media sosial.
‘Agensi keselamatan luar negara telah menyenaraikan pelbagai kumpulan ektremisme yang menggunakan simbol tertentu termasuk # atau tanda pagar bagi menimbulkan keterujaan kepada pengguna media sosial yang mudah dipengaruhi.
“Kumpulan seperti AtomWaffen Division (AWD) yang berlindung di bawah pergerakan sosialis mengaplikasikan simbol Neo Nazi berwarna hitam bagi mengujakan dan meraih sokongan terhadap pergerakan mereka khususnya di media sosial,” katanya dalam kenyataan.
Dr Noor Nirwandy berkata, keterujaan palsu dan sokongan tersebut akan cuba direalisasikan dalam bentuk fizikal seperti penganjuran konvoi berkenderaan, demonstrasi jalanan serta pengibaran simbol bendera pergerakan mereka sebagai langkah mempopularkan gerakan terbabit.
Justeru katanya, trend di Malaysia yang mula memperlihatkan kecenderungan awal menggunakan kaedah # atau tanda pagar dengan struktur berwarna hitam dengan elemen negatif perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa dan golongan muda dalam negara agar ia dapat ditangani dari awal.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta menjadi ejen anti penentangan elemen subversif dengan melaporkan sebarang kecenderungan awal menggunakan simbol # atau tanda pagar yang berbentuk negatif serta subversif kepada pihak berkuasa.
Jelas Dr Noor Nirwandy, pihak berkuasa perlu mewujudkan pusat aduan berpusat bagi penyaluran maklumat berkaitan kegiatan tersebut.
“Kita harus bersama memastikan keamanan negara serta negara bebas dari kecenderungan awal ancaman elemen radikal serta subversif daripada mempengaruhi pengguna media sosial dan membentuk keterujaan palsu yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Gunakanlah simbol # atau tanda pagar yang positif bagi mewujudkan elemen kebersamaan khususnya semasa era pandemik Covid 19,” katanya. – Malaysiapost

