Bekalan oksigen Hospital Ampang mencukupi – Dr Adham Baba

0
2

JUMLAH kematian kes Covid-19 di Hospital Ampang secara purata sejak 20 Julai lalu direkodkan sebanyak 10 hingga 15 kes sehari, namun ia bukan disebabkan isu kekurangan bekalan oksigen.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kematian itu adalah membabitkan pesakit kategori empat dan lima yang turut menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity) berkaitan.

“Hospital Ampang dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya sejak 23 Jun lalu, maknanya tindakan kita pantas dengan mengisytiharkannya lebih awal untuk merawat kes-kes Covid-19.

“Sejak 20 Julai lalu purata kematian direkodkan membabitkan 10 hingga 15 kematian sehari.

“Kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 ini berikutan peningkatan kes-kes kategori empat dan lima dengan co-morbidity yang berkaitan, selain pesakit berada pada tahap kritikal ketika dirujuk ke Hospital Ampang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai dakwaan berlaku peningkatan kes kematian di Hospital Ampang akibat kekurangan bekalan oksigen.

Menurutnya, pesakit kategori empat dan lima memerlukan bantuan terapi oksigen dan bantuan oksigen itu dibekalkan oleh syarikat yang membekalkannya dua kali sehari ke hospital berkenaan.

“Tiada isu berbangkit tentang kekurangan bekalan oksigen,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here