Kluster mahkamah: Syed Saddiq jawab sindiran Najib

0
1

BERANI kerana benar, jangan takut untuk mempertahankan diri jika tidak bersalah, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sindiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengucapkan “selamat datang ke Kluster Mahkamah” susulan pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

“Biar kita menjawab di mahkamah, yang penting saya nak sampaikan mesej bukan saja kepada Najib Razak, jangan sekali kita tunduk kepada mereka yang mengugut, jangan takut, berani kerana benar.

“Kalau tak salah, berdepan dengan mahkamah dan juri untuk bersihkan nama. Jangan kerana kita diugut sebelum Parlimen dibuka, akan membuat kita menyokong dan melompat parti. Kita ada integriti, prinsip dan maruah,” tegasnya.

Syed Saddiq juga memaklumkan akan membuat pendedahan terperinci mengenai kes dihadapinya pada jam 8 malam ini menerusi Facebook dan Instagram live.

Terdahulu Najib menerusi hantaran di Facebooknya secara sinis mengalu-alukan ‘penyertaaan’ Syed Saddiq ke dalam Kluster Mahkamah.

Najib berkata, kes Syed Saddiq itu mengingatkan beliau mengenai kes pecah amanah membabitkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pagi tadi Syed Saddiq mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama iaitu menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here