BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman sekali lagi mendakwa pendakwaan terhadapnya di mahkamah hari ini mempunyai motif tersirat, namun yakin akan dapat membersihkan namanya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata ini kerana kes pendakwaan itu sepatutnya boleh dilakukan dari tahun lalu, namun ia ditangguh sekian lama.
“Siasatan telah dijalankan sejak April 2020 manakala perintah pendakwaan pula diberikan sejak Ogos tahun lalu. Namun, kenapa “order to charge” yang diberikan sejak Ogos tahun lalu dikeluarkan selepas hampir setahun, beberapa hari sebelum Parlimen dibuka, baru saya didakwa.
“Saya rasa itu saja menunjukkan kes ada motif tersirat dan “I was challenging and confident the court and judges to clean my name”,” katanya kepada media selepas pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Syed Saddiq berkata, beliau menyertai politik untuk membina sebuah negara yang bersih dari rasuah.
“Saya masuk politik untuk bersihkan politik. Saya ingin membina sebuah negara di mana seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama ataupun bangsa bangga untuk memanggil Malaysia sebagai rumahnya.
“Apabila saya menjawat jawatan menteri, saya menteri pertama mengisytiharkan aset bagi memudahkan pihak SPRM untuk bandingkan aset sebelum dan selepas memegang jawatan.
“Bukan itu sahaja, saya juga salah satu komponen bagi kerajaan mengimplikasikan Akta Pembiayaan Politik untuk memastikan penyelewengan dapat dikurangkan, rasuah adalah barah dan musuh utama negara,” katanya.
Jelas Syed Saddiq, kes pertuduhan dikenakan terhadapnya bukan ketika beliau memegang jawatan menteri, justeru beliau diminta kerajaan berhenti mengeluarkan kenyataan mengugut atau menyindir dirinya.
Katanya, sebelum didakwa di mahkamah, pelbagai dakwaan dikeluarkan namun tuduhan terbabit tiada kena-mengena dengan jawatannya dalam kerajaan sebelum ini.
“Kedua-dua dakwaan itu dikenakan ke atas saya selepas saya tiada dalam kerajaan lagi. Kepada pihak Perikatan Nasional (PN) yang tidak habis-habis menggugut saya sepanjang setahun setengah ini, ia harus ditamatkan.
“Jika kalian ingat ugutan itu akan melemahkan semangat saya, awak semua silap! Tetapi sebenarnya, ugutan ini menaikkan semangat saya, dan akan memastikan dedikasi saya untuk membersihkan Malaysia,” katanya.
Pagi tadi Syed Saddiq mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama iaitu menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Malaysiapost

