
Najamuddin Mohd Nor
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) diminta menyediakan senarai nama keluarga yang kehilangan kedua-dua ibu bapa bagi memastikan nasib mereka terus mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini kerajaan belum ada senarai terperinci mengenai keluarga yang kehilangan tonggak punca pendapatan.
“Saya dah berbincang Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Menteri Kesihatan, supaya mendapatkan maklumat tentang kejadian yang sama, mungkin berlaku di lain tempat.
“Jadi saya telah pun meminta Datuk Seri Dr Adham untuk mendapatkan.. Kalau kes-kes yang sama melibatkan kematian kedua-dua ibu bapa yang menyebabkan akan berlaku kesusahan kepada anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi lapan adik beradik yang kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat Covid-19 di kediaman mereka di Bukit Beruntung, hari ini.
Mengulas mengenainya, Ismail Sabri juga meminta KKM menyediakan senarai keluarga yang kehilangan salah seorang tonggak pencari rezeki sama ada ibu atau bapa.
“Begitu juga kalau ibu atau bapa yang menanggung selama ini kehidupan, yang menjadi dominan kepada keluarga tiba-tiba meninggal.

“Walaupun bukan dua sekali, satu sahaja meninggal tetapi merupakan punca pendapatan keluarga tu, saya minta Dr Adham senaraikan supaya kita boleh membantu, supaya tidak ada yang terlepas dari segi bantuan kerajaan.
“Selepas ini kalau ada lagi, kita akan bantu seperti ini. Kita sebagai kerajaan prihatin kepada rakyat,” katanya.
Lapan adik beradik berkenaan menjadi yatim piatu setelah bapa mereka, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada Jumaat lalu, dua hari kemudian ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pula menyusul.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan sikap prihatin tinggi sehinggakan kisah adik beradik ini tular di media sosial.
“Saya sangat simpati akan nasib mereka, yang secara mengejut kehilangan kedua-dua orang tua. Namun kita akan bantu mereka untuk meneruskan kehidupan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada netizen, rakyat Malaysia yang begitu prihatin menviralkan cerita ini dan mungkin ada tempat lain yang tidak diviralkan. Kita tidak tahu,” katanya. – Malaysiapost
